AL QURAN

Followers

SAHIH MUSLIM

Friday, 23 September 2011

UTUSAN MALAYSIA : Kuala Kangsar aset pelancongan

Istana Iskandariah yang mula dibina pada tahun 1930.


APAKAH uniknya Kuala Kangsar? Adakah kerana ia sebuah bandar diraja atau ada faktor lain yang melambai-lambai tetamu dari dalam dan luar negara untuk singgah ke bandar yang terletak di tebing Sungai Perak itu.


Terletak kira-kira 48 kilometer dari bandar raya Ipoh, bandar diraja itu mempunyai aset pelancongan yang tidak dimiliki negeri-negeri lain, sekali gus menjadikan ia begitu eksklusif kepada penduduk negeri Perak.


Justeru, setiap kali diajukan soalan kepada orang luar yang berkunjung ke bandar diraja Kuala Kangsar mengenai apa yang mereka tahu tentang bandar tersebut, jawapan yang diterima adalah 'labu Sayong'.


Ini diakui oleh pemilik Win Kraf di Kampung Sayong Tengah, Sayong, Kuala Kangsar, Ridzuan Hamli, 44.






Menurutnya, setiap kali pengunjung singgah di Win Kraf, beliau akan melontarkan pertanyaan kepada pengunjung iaitu: "Apa yang kamu tahu tentang Kuala Kangsar?'' Jawapan yang diterima adalah, "Labu Sayong...Kami datang nak tengok dan beli labu Sayong di tempat ia dihasilkan. Selain dapat beli pada harga murah, kami juga dapat jalan-jalan di sekitar Kuala Kangsar."

Penulis yang merupakan anak kelahiran Kampung Sungai Ati, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak, turut bangga mendengar jawapan itu.

"Orang Sayong yang mula-mula buat labu ini di Kampung Kepala Bendang. Pada mulanya, kaum wanita di kampung ini buat labu untuk menyimpan air minum. Kini, produk itu telah dijadikan cenderahati, perhiasan dalaman rumah dan lampu tidur,'' katanya yang telah mengusahakan labu Sayong sejak lebih 20 tahun lalu.





Dalam pada itu, tidak lengkap kunjungan ke Kuala Kangsar jika tidak singgah ke bangunan-bangunan lama yang penuh dengan nilai-nilai sejarah perkembangan institusi diraja Perak seperti Istana Iskandariah, Istana Kenangan dan Istana Hulu.

Istana Iskandariah di puncak Bukit Chandan dibina berasaskan seni bina Islam dan Asia Barat. Ia dinamakan sempena nama Sultan Iskandar Shah yang memerintah Perak dari 1918 hingga 1938.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Sayong adalah pusat pentadbiran diraja Perak sebelum berpindah ke Bukit Chandan.

Pemindahan itu berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1 (Sultan Perak ke-28, 1887-1916). Sebelum itu, Sayong menjadi tempat raja-raja Perak bersemayam iaitu mulai dari zaman Sultan Perak yang pertama, Sultan Mudzaffar Shah 1 (1528-1549). Ketika itu, istana sultan dibina di tebing kanan mudik Sungai Perak iaitu dari hilir Sungai Perak sehingga ke Sayong.

Tradisi itu dipecahkan oleh Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1 apabila baginda memindahkan tempat persemayaman dari Sayong ke Bukit Chandan yang terletak di tebing kiri Sungai Perak.

Di situ, baginda membina Istana Negara untuk raja-raja bersemayam, Istana Cinta Berahi untuk Tengku Permaisuri dan Istana Kasar Makmur untuk Raja Perempuan.

Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Shah (Sultan Perak ke-30, 1918-1938), Istana Negara diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Istana Iskandariah pada 1930. Pembinaan memakan masa tiga tahun.

Sementara menunggu Istana Iskandariah siap, Sultan Iskandar Shah bersemayam di Istana Kenangan yang keseluruhannya dibuat daripada kayu tanpa menggunakan paku.

Istana itu kini telah dijadikan Muzium Diraja Perak. Istana Cinta Berahi pula telah dijadikan Sekolah Raja Perempuan Mazwin, manakala istana lain telah dirobohkan.





Selain itu, ikon bandar diraja Kuala Kangsar yang juga popular adalah Masjid Ubudiah. Terletak berdekatan Istana Iskandariah, ia dibina pada zaman pemerintahan Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1.


Baginda bernazar jika sembuh daripada satu penyakit yang serius, baginda akan membina sebuah masjid dan apabila sembuh, maka Masjid Ubudiah mula dibina pada 26 September 1913.


Pembinaan terpaksa ditangguhkan apabila bekalan batu marmar dari Itali terputus ekoran meletusnya Perang Dunia Pertama.


Baginda tidak sempat melihat masjid ini siap kerana meninggal dunia setahun sebelumnya. Ia dibuka secara rasmi pada 1917 ketika era pemerintahan Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah (Sultan Perak ke-29, 1916-1918).






Selain itu, turut menjadi tarikan adalah Maktab Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali MCKK (Malay College Kuala Kangsar).

Ia merupakan sekolah asrama pertama di Tanah Melayu dan terletak di Jalan Tun Abdul Razak.

Pembinaan MCKK diinisiatifkan oleh Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah 1 yang begitu tertarik dengan konsep pendidikan di Barat.

Pada mulanya, MCKK yang dibina pada 1905 khusus untuk anak-anak daripada keluarga elit, tetapi kini dibuka kepada semua anak Melayu.

MCKK berjaya melahirkan nasionalis Melayu yang hebat seperti Dato Onn Jaafar, Yang di-Pertuan Agong Pertama, Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar dan banyak lagi.

Terdahulu, sebuah sekolah Inggeris iaitu Sekolah Clifford telah dibuka di Kuala Kangsar pada 1897. Sultan Yusuf Izuddin Shah (1948-1963) dan Sultan Idris al-Mutawakkil Alaihi Shah (1963-1984) pernah belajar di sekolah ini.





Kemangkatan Sultan Idris al-Mutawakkil Alaihi Shah menyebabkan Raja Muda Perak ketika itu, Raja Tun Azlan Shah dilantik sebagai Sultan Perak ke-34 dengan gelaran Sultan Azlan Muhibuddin Shah. Ketika itu baginda berusia 56 tahun.

Dilahirkan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, Perak, baginda memerintah sehingga hari ini dan mencipta sejarah sebagai Sultan Perak yang mempunyai kelayakan akademik dan menyandang jawatan tertinggi dalam bidang kehakiman.

Mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang di Universiti Nottingham dan Lincoln Inn London, baginda pernah memegang jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan (1973-1978), Hakim Besar Malaya (1979-1982) dan Ketua Hakim Negara mulai 1982 sehingga baginda dilantik sebagai Sultan Perak pada 1984.

Perkahwinan baginda dengan Tuanku Bainun Mohd Ali telah dikurniakan lima cahaya mata iaitu Raja Dr. Nazrin Shah, Raja Azureen, Raja Ashman Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia.

Memetik kenyataan dari buku bertajuk Cempaka Sari (Sejarah Kesultanan Negeri Perak) oleh M.A.Fawzi Basri cetakan pertama 1986, "Kekekalan sistem beraja sehingga kini adalah atas kekukuhan tradisinya dan juga sokongan bulat orang Melayu yang terus menjunjung kedaulatan raja-raja."

Justeru, jangan biarkan sesiapa mengganggu gugat kedaulatan institusi raja. Daulat Tuanku.

SUMBER





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...