AL QURAN

Followers

SAHIH MUSLIM

Sunday 25 September 2011

HUTAN LIPUR ULU KENAS : Destinasi perkelahan keluarga



Lata Ulu Kenas terletak kira kira 15km perjalanan dari Bandar Kuala Kangsar, menuju ke Pekan Manong. Kira - kira 40km dari Ipoh dan 85km dari bandar Lumut.

Hutan Lipur Ulu Kenas, kaya dengan Flora dan Fauna yang biasa terdapat di Hutan Hujan Khatulistiwa. 

Hutan Lipur Ulu Kenas yang diselia Jabatan Perhutanan negeri ini mempunyai tarikan istimewa kerana selain airnya yang jernih dan sejuk, ia tidak berbahaya kepada semua peringkat pengunjung kerana tiada 'lubuk berhantu' yang boleh menyebabkan kejadian lemas. 

Di sepanjang sungai sejauh kira-kira 3 kilometer itu, semua tempat sesuai untuk mandi-manda, baik untuk dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. 


Terdapat deretan batu-batan di dalam sungai yang mengindahkan lagi suasana dan terdapat kawasan lapang yang membolehkan pengunjung, termasuk kanak-kanak untuk belajar berenang.






Beberapa chalet milik Jabatan Perhutanan juga disediakan kepada pengunjung yang ingin bermalam dan lazimnya ia disewa pelajar yang mengadakan aktiviti kokurikulum di situ.

Jika tidak mahu menyewa chalet dan mahu menjimatkan kos, masih banyak kawasan lapang dan sesuai untuk pengunjung mendirikan khemah di sepanjang sungai di situ.

Sementara bagi mereka yang berminat untuk beriadah atau berjoging, beberapa laluan yang selesa dan menyeronokkan turut disediakan.

Di hutan lipur yang indah itu juga ada sebuah jambatan tinggi dibina Jabatan Perhutanan bagi membolehkan pengunjung menikmati pemandangan sekeliling dengan lebih luas dan jelas selain berfungsi sebagai penghubung dengan kawasan seberang sungai.

 


Bagi pengunjung yang tidak membawa bekalan makanan, tidak perlu bimbang kerana deretan gerai makanan beroperasi setiap hari. Harganya, amat berpatutan.

Lebih menyeronokkan, jika pengunjung datang pada musim buah kerana sekitar kawasan Ulu Kenas adalah tempat pengeluaran buah-buahan tempatan tersohor yang terbaik seperti durian, dokong, rambutan, manggis dan cempedak.

Anda boleh membelinya terus daripada penduduk kampung di kebun mereka dengan harga terendah dan yang lebih menarik, boleh makan sehingga kenyang sebelum membeli.





PENDAKIAN GUNUNG BUBU

Hutan lipur ini juga merupakan pintu masuk bagi para pendaki Gunung Bubu ( 1657m ). 

Pendakian bermula dari Taman Rekreasi Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak iaitu berdekatan dengan Kem Biro Tata Negara. Perjalanan menuju ke Kem Sg Gading mengambil masa lebih kurang 6 jam. Pendaki boleh bermalam di situ dan kem tersebut mempunyai kapasiti sehingga 50 orang pada satu masa. 

Hari seterusnya, pendaki boleh meneruskan pendakian sehingga ke Puncak Gunung Bubu di mana ia memakan masa 4 hingga 5 jam. Perjalanan tersebut juga akan melalui punca air terakhir (Last Water Point) dan pendaki boleh mendapatkan bekalan minuman di lokasi tersebut. 

Puncak Gunung Bubu agak tidak sesuai untuk bermalam kerana kawasan yang terlalu kecil dan pendaki boleh bermalam di Kem Batu Dinding yang kira-kira 15 minit perjalanan dari puncak. 

Untuk pendakian ke puncak, pendaki juga boleh meninggalkan haversack di Kem Sg Gading dan hanya membawa daypack. 

Perjalanan turun dari puncak ke Kem Sg Gading memakan masa 2 hingga 3 jam. Pendaki boleh bermalam semula di Kem Sg Gading atau terus ke kembali ke tempat mula pendakian di mana ia memakan masa 3 hingga 4 jam.


EMPANG PECAH

Bagi mereka yang inginkan sedikit pengembaraan dan kelainan, bolehlah mendaki sedikit menyusuri denai bersebelahan Kem Bina Negara, Ulu Kenas untuk ke satu lagi tempat perkelahan. 



















Menarik bukan? Apa lagi, selamat datang ke Hutan Lipur Ulu Kenas. Tidak perlu bimbang di mana hendak meletak kenderaan kerana tempat letak kenderaan yang luas disediakan. Ia boleh menampung lebih daripada 100 kereta dalam satu masa dan yang paling penting, ia percuma! 


CARA KE SANA: 

Jika dari Lebuh Raya Utara – Selatan (Plus), keluar dari Tol Kuala Kangsar dan memasuki Bandar DiRaja itu. Ambil jalan lama ke arah Manong dan Lumut. Hutan Lipur Ulu Kenas terletak hanya kira-kira 15 km dari Kuala Kangsar.









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...