AL QURAN

Followers

SAHIH MUSLIM

Saturday 29 October 2011

WARISAN PEMBUAT KERIS



ISTILAH tidak kenal maka tidak cinta cukup popular dalam kehidupan masyarakat Melayu tetapi dalam seni tradisi pembuatan keris warisan, ia sebenarnya berlawanan. Tidak cinta maka tidak kenal kerana pekerjaan membuat keris memerlukan individu yang cukup cintakan keris, barulah layak mewarisi tradisi itu.

Jika sudah jatuh cinta barulah timbul minat untuk mengetahui, mendalami apa saja maklumat berkaitan keris, teknik serta segala petua menghasilkan seni warisan berkualiti.

Hakikat itu diakui pewaris generasi keempat pembuat keris di Kuala Kangsar, Perak, Abdul Mazin Abdul Jamil, yang secara tradisinya sering diamanahkan membuat keris untuk pembesar istana dan keluarga diraja.

Bagi Abdul Mazin yang mewarisi kemahiran seni pembuatan besi daripada moyangnya yang dikenali sebagai Tukang Mamat, bukan mudah untuk membentuk, melatih mencari bakat baru bagi menyambung warisan bangsa kerana ia memerlukan individu yang cukup berminat dengan penuh komitmen.

Beliau yang belajar membuat keris daripada ayahnya, Allahyarham Abdul Jamil Pandak Lam Pandak Yunus sejak berusia 12 tahun, berkata proses awal ke arah itu ialah belajar mengenal besi yang mempunyai pelbagai jenis dengan memilih campuran yang paling sesuai.




“Ilmu paling asas ialah mesti bijak dan mengenal jenis besi yang digunakan. Besi membuat keris adalah campuran pelbagai jenis jenis yang terdiri daripada besi tawar, besi baja dan besi melela.

“Contohnya, paku ialah sejenis besi tawar, gergaji dan spring kenderaan ialah besi baja, manakala besi melela ialah gabungan kedua jenis besi berkenaan, misalnya besi tingkap rumah. Besi itu digabung dan dicantumkan sehingga mampat, barulah boleh ditempa untuk membentuk keris,” katanya.

Berdasarkan apa yang diwarisi secara turun temurun, petua memilih besi mengikut tiga jenis asas pilihan tadi juga mesti berdasarkan asas tujuh jenis besi bermula dengan huruf ‘P’ iaitu paku, payung, pahat, puting, pagar, pisau dan penyodok.

Besi padat tujuh lapisan yang digabungkan itu akan ditempa dan dibentuk mengikut tempahan serta jenis keris yang dikehendaki.




Secara tradisinya pembuat keris akan menggunakan kaedah tradisional menggunakan pengepam tangan atau kaki bagi membekalkan oksigen ke dalam dapur. Perubahan teknologi itu nyata memudahkan kerja dan menjimatkan tenaga.

Namun, proses mengetuk dan membentuk masih secara tradisional menggunakan pengetuk beralaskan batang besi dan ada yang menggunakan rel landasan kereta api.

“Keris yang sudah siap ditempa sebenarnya akan menghasilkan corak tersendiri, ia asli dan semula jadi hasil gabungan tujuh lapis besi. Itu yang membezakan corak setiap keris. Corak itu akan kekal walaupun dibakar semula.

“Sebab itulah, keris yang sudah siap akan diperam selama seminggu menggunakan belerang kuning bercampur garam halus dan air cuka untuk mengekal dan menimbulkan imej corak,” katanya.

Peringkat seterusnya ialah kemahiran mengukir kayu untuk membuat sarung, ulu dan semuanya memerlukan penelitian. Kebiasaannya sepasang sarung keris akan dihasil menggunakan empat jenis kayu berbeza bermula di ulu, sampir, batang dan kasut sarung keris.

Menyingkap kenangan manis sebagai pembuat keris sepenuh masa, Abdul Mazin cukup berbangga kerana hasil tangannya pernah dijadikan keris milik pergerakan Pemuda Umno yang dinamakan Panca Warisan yang melambangkan keutuhan, keberanian dan kekuatan orang Melayu.

Kemahiran seninya juga perlu diiktiraf apabila ramai pelajar luar negara dari England dan Jepun datang belajar di bengkelnya bahkan, beliau pernah menghasilkan keris khas sempena Jubli Emas Sultan Kedah pada 2003.


6 comments:

  1. Salam, bagaimana cara saya nak berhubung dengan en abdul mazin?

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh melawat bengkel beliau di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar

      Delete
  2. Saya perlukan nombor En Mazin. Ada sesiapa yang boleh bagi?

    ReplyDelete
  3. Saya perlukan nombor En Mazin. Ada sesiapa yang boleh bagi?

    ReplyDelete
  4. Boleh saya dapatkan nombor En Mazin.

    ReplyDelete
  5. Boleh saya dapatkan nombor En Mazin.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...