05hb Mac 2010
KUALA KANGSAR 4 Mac - Pekan kecil Karai yang terletak kira-kira 10 kilometer dari sini dianggap sebagai pekan mati kerana kekurangan pengunjung berbanding Sungai Siput dan Padang Rengas.
Namun, di sebalik keadaannya itu tersembunyi keistimewaan yang menyebabkan ia tetap menjadi tumpuan golongan tertentu.
Hakikatnya, bagi yang hendak menggadai barang kemas atau menjual getah buku, pekan Karai dikatakan menjadi pilihan terbaik kerana harga ditawarkan adalah lebih tinggi berbanding di tempat lain.
Barangan seperti racun serangga dan rumput-rampai, barangan logam, alat bekerja di ladang termasuk pisau menoreh getah, bahan pertukangan tangan serta barangan runcit pula boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah di pekan ini.
Tumpuan masyarakat ke pekan Karai ketika itu menyebabkan wujud perkhidmatan kereta api untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Sewaktu harga getah merudum pada 1970-an, ramai penoreh getah meninggalkan pekan Karai untuk mencari pekerjaan lain.
Sejak itu, nama pekan Karai yang terkenal beransur-ansur hilang daripada sebutan masyarakat.
Antara kesan sejarah yang masih dapat dilihat di kawasan ini ialah kubu pertahanan Jepun peninggalan era Perang Dunia Kedua.
Kedudukan kubu tersebut pula terletak berhampiran dengan jambatan kereta api Victoria yang telah mencecah usia 80 tahun.
Apa yang dikesalkan, kegagalan pihak-pihak tertentu memelihara kawasan persekitaran menyebabkan suasananya dipenuhi semak-samun.
Hari ini, pekan Karai hanya menjadi tumpuan ramai pada setiap hari Selasa berikutan wujud pasar sehari dikenali 'Pekan Selasa.'
Kehadiran para peniaga yang menjual beraneka jenis barangan secara lambak dengan harga murah mampu memberi 'nyawa' kepada pekan mati ini berbanding pada hari-hari lain.
Antara yang turut mendapat perhatian ialah kuih kundas yang sering dimakan bersama secawan air kopi atau teh tarik panas.
Bagi pengunjung sama ada penduduk tempatan atau orang luar, tidak sempurna kedatangan mereka ke Pekan Selasa di pekan Karai jika tidak merasai keenakan kuih kundas yang semakin sukar dicari ini.
SUMBER
No comments:
Post a Comment